Kedudukan ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang melibatkan skuad Harimau Malaya dijangka berubah pada bulan Julai depan selepas mencatat dua kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu menewaskan Kepulauan Solomon (ranking 134) 4-1 pada 14 Jun lepas hasil jaringan Paolo Josue, Arif Aiman, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Menurut perkongsian daripada laman sesawang HarimauMYstats, keputusan itu membantu Malaysia mengutip 5.206 mata ranking FIFA.

Pada perlawanan kedua, Malaysia berpesta gol belasah Papua New Guinea (ranking 159) 10-0 dan ia adalah kemenangan terbesar sejak dibawah kendalian Kim Pan Gon.

Keputusan itu bermakna Harimau Malaya mendapat tambahan 4.24 mata sekaligus menjadikan mata keseluruhan yang dikutip adalah 9.446.

Dengan jumlah mata tersebut, kedudukan ranking Malaysia dijangka akan berubah dan naik dua anak tangga di posisi 136 dunia mengatasi Turkmenistan.

Malaysia juga berpotensi memotong kedudukan Filipina yang masih kekal dalam kelompok 135 teratas dunia.

Kali terakhir Malaysia masuk dalam kelompok 130-139 dunia adalah pada Ogos 2010. Kedudukan ini boleh berubah sekiranya Malaysia konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang seterusnya.

Kedudukan ranking ini penting untuk menentukan balang undian Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia. Malaysia akan berada dalam balang 3 dengan jumlah mata ranking keseluruhan 1091.57.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah merangka format baharu kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 untuk menentukan cara terbaik memilih pasukan ke Piala Dunia berdasarkan jumlah slot yang telah ditetapkan.

Pasukan di ranking 26 hingga 47 Asia akan bermain di pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia melibatkan satu perlawanan (Home & Away). Ketika ini, Malaysia berada di ranking 25 Asia dan layak beraksi di pusingan kedua.